Media Press Release

JKR bina laluan pilihan, tutup pusingan U.

Date: Thursday, 23 September 2010
Category: Publication - Berita Harian

Kuala Lumpur: Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat laluan alternatif melalui jalan Sungai Pusu dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang jaraknya hanya 4 minit memandu setalah menutup pusingan U sebelum Plaza Tol Gombak di sini, tahun lalu.

Ketua Jabatan Komunikasi MTD GROUP, Fazlyaton Hussein menerusi kenyataan dikeluarkan baru-baru ini, berkata isu ini juga dibangkitkan kepada pejabat Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia oleh penduduk yang mempunyai kepentingan di situ.

"Pihak MTD mengadakan lawatan tapak bersama ADUN Gombak Setia dan penduduk yang membuat aduan berkenaan pada 25 Mei lalu. Hasil daripada lawatan itu pejabat ADUN berpuas hati dengan justifikasi MTD serta mencuba sendiri laluan alternatif itu.

"Artikel Editor dalam blog ADUN Gombak Setia bertarikh 31 Mei lalu turut bersetuju bahawa faktor keselamatan pengguna jalan raya yang lain lebih penting daripada kepentingan individu dan dengan itu bersetuju pusingan U itu tidak dibuka semula.," katanya.

Beliau mengulas laporan Sentral pada 16 September lalu mengenai aduan sembilan keluarga di Batu 7, Gombak Tambahan Tengah di sini yang membayar tol RM10 setiap kali berulang alik ke rumah mereka walaupun untuk ke kedai sejak setahun lalu selepas pusingan U itu ditutup.

Penduduk mendakwa keadaan jalan alternatif itu pula terlalu gelap dan berbahaya terutama lewat malam sehingga mereka terpaksa melalui plaza tol itu walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi.

Pusingan U berkenaan terpaksa ditutup pada 2009 berdasarkan beberapa faktor keselamatan pengguna yang dikenal pasti pihaknya. Ia didapati berbahaya kepada pengguna lebuh raya yang menghala ke Kuala Lumpur atau Lembah Klang.

Selain itu ada sejumlah tujuh pondok tol tambahan berhampiran lokasi terbabit yang mungkin akan menyebabkan pertembungan kenderaan yang menghala ke Kuala Lumpur dengan membuat pusingan U selain jarak sejauh 75 meter diperlukan untuk kenderaan menghampiri lotong di plaza tol.

View news clipping

--- Back to News Listing ---