Pengguna lega tol LPT, Karak tak naik
Category: Publication - Berita Harian
Kerajaan kekal caj kutipan untuk lima tahun
KUALA LUMPUR: Rata-rata pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan LPT berpuas hati serta menarik nafas lega apabila kadar tol bagi kedua-dua laluan itu tidak dinaikkan dalam tempoh lima tahun.
Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa tiada kenaikan kadar tol untuk lima tahun akan datang bagi dua laluan berkenaan.
Pemandu bas, Musa Mamat, 58, berkata pengumuman itu amat baik bagi pengguna lebuh raya dan berharap kerajaan berpegang dengan kata-kata dengan tidak menaikkan kadar tol secara mengejut.
Pemandu lori yang berasal dari Pahang, Shahril Sabri, 20, pula berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kerajaan tidak sepatutnya menaikkan kadar tol dan pengumuman ini adalah satu berita baik bagi pengguna lebuh raya.
“Tempoh lima tahun itu bersesuaian ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu, tidak perlu naikkan tol kerana ia boleh menjejaskan banyak perkara termasuk kenaikan harga barang dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, seorang guru, Siti Robeah Md Desa, 24, berkata sebagai pengguna lebuh raya dan juga penumpang bas, pengumuman Perdana Menteri itu amat ditunggu-tunggu, sekali gus dapat meringankan beban pengguna lebuh raya.
Pemandu bas, Zakaria Mohamad, 54, berkata sebagai seorang yang berasal dari Pantai Timur, tindakan kerajaan amat wajar dan berharap selain kadar tol, kerajaan juga dapat mengkaji pelbagai lagi permasalahan yang berlaku terutama kepada pemandu bas.
“Saya menyambut baik pengumuman ini tetapi saya berharap kerajaan mengkaji lebih mendalam lagi terutama mengenai masalah pemandu bas,” katanya.
--- Back to News Listing ---