Media News Coverage

Anih sumbang 11,000 pek kurma dan 2,500 juadah iftar percuma

Date: Friday, 24 May 2019
Category: Publication - Utusan Online


TEMERLOH 24 Mei – Anih Berhad (Anih), syarikat konsensi Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) meneruskan tradisi tahunannya sempena kedatangan Ramadan dengan mengedarkan pek buah kurma dan juadah iftar secara percuma kepada pengguna lebuh raya berkenaan.

Edaran pek buah kurma yang bermula 17 Mei hingga akhir Ramadan ini dilaksanakan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak menjelang waktu berbuka puasa.

Edaran secara percuma juadah iftar yang mengandungi set lauk, nasi, air mineral dan kurma pula dibuat menerusi kaunter pandu lalu khas bermula pukul 5.30 petang hingga 7.30 petang di tiga kawasan Rehat & Rawat (R&R) terpilih.

Pengarah Eksekutif Anih, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, sumbangan tahun ketiga itu melibatkan 11,000 pek buah kurma percuma dan 2,500 pek juadah iftar di tiga kawasan R&R terpilih.

“Sumbangan ini merupakan inisiatif syarikat untuk meneruskan usaha berkongsi keberkatan bulan Ramadan dan sebagai tanda penghargaan kepada pengguna KLK dan LPT 1.

“Syarikat prihatin dengan pengguna yang tidak sempat sampai ke destinasi untuk iftar dan kami berharap dengan sumbangan kecil ini dapat membantu mereka yang masih lagi dalam perjalanan dan tidak sempat berbuka,” katanya ketika berucap pada Program Berkongsi Barakah Ramadan dan pengedaran juadah iftar kepada pengguna LPT1 di R&R Temerloh di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Aziz Abdullah. - UTUSAN ONLINE

--- Back to News Listing ---