Media News Coverage

Pengguna LPT dinasihat ikut jadual TTA ANIH

Date: Saturday, 25 May 2019
Category: Publication - Berita Harian Online


KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dinasihat mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu mengurangkan kesesakan melampau pada waktu puncak sempena musim perayaan.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad (ANIH), Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata apabila pengguna mematuhi TTA secara tidak langsung dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada satu masa di plaza tol dekat Gombak, Bentong dan Karak sehingga menyebabkan kesesakan.

Beliau berkata, TTA penting dalam membantu menyuraikan trafik di lebuh raya disebabkan peningkatan jumlah kenderaan di lokasi tertentu secara mendadak, terutama pada musim perayaan.

“Pada 1 Jun iaitu mulai jam 6 pagi hingga 4 Jun pada jam 3 petang bagi pengguna lebuh raya yang menghala ke negeri pantai timur.

“Pada 8 dan 9 Jun, antara jam 12 tengah hari hingga 12 pagi membabitkan trafik menghala ke arah Kuala Lumpur.

“Oleh itu, saya menyeru semua pengguna yang bakal menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) supaya merujuk jadual TTA yang disediakan. Pandu berhemah dan patuhilah peraturan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum memulakan perjalanan balik kampung, Nik Fauzi mengingatkan pengguna lebuh raya LPT supaya memastikan baki dan kad Touch n Go (TnG) dan e-Wallet Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh ANIH untuk pelanggannya adalah komitmen syarikat bagi memastikan KLK dan LPT1 sentiasa dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Katanya, ia termasuk usaha untuk memenuhi tahap kualiti lebuh raya berdasarkan garis panduan dan piawaian yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

--- Back to News Listing ---