Media News Coverage

Pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 disaran ikut jadual TTA ANIH

Date: Thursday, 08 August 2019
Category: Publication - Utusan Online


PENGGUNA Lebuhraya KLK dan LPT1 dinasihat mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu mengurangkan kesesakan teruk pada waktu puncak sempena Hari Raya Aidiladha bermula Ahad ini. - UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dinasihat mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu mengurangkan kesesakan teruk pada waktu puncak sempena Hari Raya Aidiladha Ahad ini.

Anih Berhad (ANIH) dalam kenyataannya memaklumkan, terdapat dua pilihan waktu masuk ke lebuhraya menghala ke Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Jabor.

"Pengguna boleh menggunakan cadangan perjalanan pada esok dan Sabtu iaitu mulai pukul 12 tengah hari dan 7 malam bagi yang menghala ke Pahang.

"Manakala bagi pengguna yang menghala ke Terengganu dan Kelantan bermula pukul 6 pagi atau 5 petang.

"Namun bagi pengguna lebuhraya yang menghala ke semua negeri pantai timur, waktu perjalanan adalah bebas mulai pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi," katanya.

Tambahnya, pengguna lebuhraya bagi kenderaan ringan disarankan untuk tidak memasuki Plaza Tol Gombak antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam bagi memberi laluan kepada waktu perjalanan bas ekspres yang menghala pantai timur.

Ujar ANIH, trafik menghala ke arah Kuala Lumpur dan Selangor mulai sesak pada 12, 17 dan 18 Ogos ini bagi pengguna lebuhraya dari Pahang, Terengganu yang memasuki Plaza Tol Jabor dan Kelantan yang menggunakan Plaza Tol Bentong.

"Sehubungan itu, pengguna lebuhraya dari Pahang disaran mematuhi TTA mulai pukul 6 pagi dan 7 malam manakala bagi pengguna dari Terengganu mulai pukul 10 pagi dan 8 malam.

"TTA bagi pengguna lebuhraya dari Kelantan adalah mulai pukul 5 petang dan 9 malam," katanya.

ANIH turut menasihatkan agar semua pemandu berhati-hati semasa memandu dan memastikan baki kad Touch 'n Go dan e-Wallet RFID mencukupi sebelum memulakan perjalanan. - UTUSAN ONLINE

--- Back to News Listing ---