Media News Coverage

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dipantau

Date: Wednesday, 22 January 2020
Category: Publication - Sinar Harian

BENTONG - Tahap kesedaran penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), akan dipantau pihak berkuasa sepanjang operasi keselamatan jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun tiada tindakan kompaun dikenakan sejak undang-undang itu berkuat kuasa pada 1 Januari pengguna jalan raya perlu diberikan kesedaran mengenai kepentingan CRS.

"Pemantauan akan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kerana kita mahu meningkatkan kesedaran.

"Dasar penggunaan CRS hanya akan menjadi efektif, jika pengguna jalan raya mempunyai kesedaran sendiri," katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Sambutan Tahun Baru Cina Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Hentian Bentong arah Barat di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Anthony Loke berkata, tindakan menguatkuasakan penggunaan CRS pada kenderaan persendirian terpaksa dilakukan, bagi memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak ekoran statistik kematian golongan itu yang membimbangkan.

"Sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017. Sokongan daripada pihak swasta dan media amat penting, dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar penggunaan CRS dengan berkesan," katanya.

Pada perkembangan lain, Anthony Loke berkata, beliau mengalu-alukan maklum balas pelbagai pihak, berhubung pemeriksaan awam Jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau Seksyen C yang dipaparkan sejak 14 Januari lalu kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Sementara itu, Nik Fauzi berharap pengguna merujuk jadual cadangan waktu perjalanan, kerana dijangkakan purata trafik harian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT 1 akan meningkat sebanyak 60 peratus sempena musim cuti Tahun Baru Cina, iaitu kira-kira 250,000 kenderaan berbanding 156,000 pada hari biasa.

"Kami memastikan semua aset berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan peningkatan ini, termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan trafik dari udara selain meningkatkan rondaan serta penugasan lebih 550 kakitangan bahagian tol dan trafik," katanya.

Nik Fauzi berkata, Anih Berhad menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada pengguna kenderaan persendirian atau kelas 1 bagi pada 25 Jan ini di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan LPT 1 bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam.

Pada majlis itu, Anih Berhad turut melancarkan kempen keselamatan jalan raya, bagi menggalakkan pengguna jalan raya memakai tali pinggang keledar dan berehat setiap dua jam selepas memandu, dengan tema hashtag #PasangSokmo dan #MohSinggah sempena musim cuti Tahun Baru Cina. - Bernama

--- Back to News Listing ---