Media Press Release

Sebahagian lagi LPT2 dibuka elak kesesakan

Date: Tuesday, 22 July 2014
Category: Publication - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Julai - Bersempena dengan sambutan Aidilfitri, kerajaan memutuskan untuk membuka sebahagian lagi jajaran projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari Persimpangan Jabor sehingga Persimpangan Cheneh sepanjang 26 kilometer (km) bermula hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, pembukaan laluan itu bertujuan memberikan keselesaan kepada pengguna yang akan pulang berhari raya di samping mengelakkan kesesakan trafik pada musim perayaan.

“LPT2 sepanjang 182 kilometer merupakan salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan pada 22 Ogos 2011 hingga 25 Januari lalu, sebahagian jajaran telah dibuka kepada awam sepanjang 102 kilometer dari Persimpangan Kuala Trerengganu sehingga Persimpangan Paka.

“Pembukaan ini telah memberi kemudahan penjimatan kos, masa dan tenaga yang melibatkan perjalanan pengguna lebuh raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, kerajaan dalam masa sama turut komited dalam menyegerakan penyiapan beberapa jajaran yang masih dalam pembinaan iaitu dari Persimpangan Cheneh ke Chukai dan Persimpanagan Kerteh ke Paka.

“Kerajaan yakin jajaran-jajaran ini dapat dibuka kepada laluan awam secara berperingkat sebelum penghujung September depan dan diharap rakyat dapat menikmati kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan negara yang telah dirancang,” katanya.

--- Back to News Listing ---