Media Press Release

MTD Infra sasar raih perolehan RM200j

Date: Friday, 23 September 2005
Category: Publication - Bernama

KUALA LUMPUR 22 Sept. - MTD InfraPerdana Bhd. (MTD Infra), menyasar untuk mencatatkan RM200 juta dalam perolehan bagi 12 bulan akan datang, kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Nik Hassan Abdul Rahman.

Beliau berkata, sasaran yang tinggi itu ditetapkan setelah pembelian Metramac Corporation Sdn. Bhd., pemegang konsesi Lebuh raya Timur-Barat dan Lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban oleh syarikat daripada Metacorp Bhd., berjalan lancar.

"Selepas pengambilalihan Metramac, kami akan mempunyai sejumlah empat konsesi, dan ini akan meningkatkan perolehan kami,'' katanya kepada Bernama selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat di sini hari ini.

MTD Infra merupakan syarikat pemegangan pelaburan yang terlibat sepenuhnya sebagai pemegang konsesi bagi menyediakan semua kemudahan berkaitan tol, terowong dan yang lainnya.

Ia merupakan anggota MTD Group, satu daripada syarikat infrastruktur utama Malaysia yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur swasta, pembinaan dan kejuruteraan, pembangunan hartanah serta aktiviti lain yang berkaitan pembangunan.

Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2005, MTD Infra mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak RM116.70 juta daripada RM110.22 juta pada tahun 2004, manakala keuntungan sebelum cukai lebih tinggi pada RM44.65 juta daripada RM34.69 juta.

Nik Hassan berkata syarikat terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan aliran trafik yang menggalakkan bagi Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan sumbangan sulung daripada Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (ECE 1) pada suku terakhir tahun ini.

Menurut Nik Hassan, syarikat diberikan hak untuk menguruskan dan mengutip tol bagi ECE 1 selama 28 tahun dari tahun 2005 hingga tahun 2032, manakala lebuh raya KLK juga berakhir pada tahun 2032 selepas konsesi dilanjutkan pada 12 Disember, 2003. - Bernama

--- Back to News Listing ---