Media Press Release

Trafik lancar, terkawal hari pertama ETC

Date: Wednesday, 09 September 2015
Category: Publication - Utusan Malaysia


Azmil Khalid (lima dari kiri) mengibarkan bendera ANIH Berhad sebagai gimik pelancaran bermulanya penggunaan kad Touch 'n' Go di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA



KUALA LUMPUR 9 Sept. - Keadaan trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berjalan lancar dan terkawal pada hari pertama sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) yang dilaksanakan serentak di 12 plaza tol bermula 12 tengah hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Dr. Azmil Khalid berkata, pihaknya mengambil pelbagai langkah untuk memastikan sistem berkenaan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pengguna termasuk menawarkan diskaun pembelian Smart Tag di samping memberi kad Touch ‘n’ Go secara percuma kepada pengguna lebuh raya. Katanya, selain itu, pihaknya turut melakukan persediaan rapi bagi menghadapi segala kemungkinan jika berlaku kerosakan de­ngan menempatkan jurutol di lorong ETC untuk membuat transaksi secara manual.

“Kita hendak pastikan dalam tempoh tiga bulan, semuanya berjalan lancar dan selepas sistem ini dinaik taraf, kita akan mengkhususkan jenis kenderaan mengikut kelas dengan menggunakan jenis kad yang telah ditetapkan. “Selain itu, jurutol berkenaan akan ditempatkan di bahagian lain mengikut kelayakan sesuai setelah sistem ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar khas berkenaan hari pertama pelaksanaan ETC di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Pengarah (Bisnes) Lembaga Le­buh Raya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah. Dalam pada itu, Azmil berkata, permintaan terhadap penggunaan kad Touch N Go telah meningkat berbanding sebelum pelaksanaan ETC.

“Kita menyerap kos sebanyak lima peratus dan memberi diskaun selama tiga bulan untuk pengguna kelas satu bermula hari ini bagi menggalakkan pengguna mendapatkan kad berkenaan secepat mungkin. “Sebelum ini, hanya 35 peratus sahaja yang menggunakan sistem bayaran elektronik tetapi kini, jumlah tersebut telah meningkat sebanyak 85 peratus. Kami yakin mampu mencapai sehingga 100 peratus penggunaan kad tersebut selepas ini,” katanya.

--- Back to News Listing ---