Media Press Release

Utamakan Keselamatan Jalan Raya, Kata Liow

Date: Saturday, 23 January 2016
Category: Publication - Bernama

GENTING HIGHLANDS, 23 Jan (Bernama) -- Kes-kes kemalangan jalan raya dan kemalangan maut di seluruh negara terus meningkat walaupun pelbagai usaha diambil untuk mengurangkannya.

Ketika menyuarakan kebimbangannya terhadap perkara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata adalah penting bagi semua pihak khususnya orang ramai memberikan perhatian yang serius terhadap keselamatan jalan raya.

Beliau berkata sebanyak 476,196 kemalangan jalan raya melibatkan 6,674 kes kemalangan maut direkodkan pada 2014 dan jumlah itu meningkat kepada 489,605 kes dan 6,706 kematian pada tahun lepas.

Daripada jumlah kes kemalangan jalan raya yang direkodkan pada 2015, sebanyak 4,120 mangsa mengalami kecederaan serius manakala 7,432 cedera ringan.

"Oleh itu, saya ingin merayu kepada semua agar sama-sama mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Kita boleh buat perubahan," katanya ketika melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya ANIH Berhad di Hentian Rehat dan Rawat Genting Sempah, dekat sini Sabtu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Liow berkata kementerian akan meningkatkan program sokongan dan penguatkuasaan tahun ini sebagai usaha memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keselamatan jalan raya.

Beliau berkata inisiatif itu termasuk melancarkan kurikulum keselamatan jalan raya baharu bersama Kementerian Pendidikan dalam sukatan pelajaran sekolah rendah selepas sambutan Tahun Baru Cina serta kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam promosi sokongan.

"Saya juga mencadangkan keperluan untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Jalan Raya di peringkat daerah bagi meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya kepada golongan akar umbi," katanya.

Beliau berkata kementerian juga merancang untuk mengurangkan nisbah kemalangan bagi setiap 10,000 kereta berdaftar kepada 2.0 berbanding 2.55 tahun lepas.

Sementara itu, bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 8 Feb, ANIH Berhad, syarikat konsesi yang menguruskan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), akan menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada pengguna kedua-dua lebuh raya pada 8 Feb.

Syarikat itu menjangkakan jumlah trafik di kedua-dua lebuh raya akan bertambah kepada 1.9 juta dalam tempoh 10 hari perayaan itu berbanding hanya 150,000 kenderaan pada musim bukan perayaan.

ANIH dalam satu kenyataan turut menggesa pengguna lebuh raya supaya mengikuti jadual perjalanan yang disediakan, yang boleh didapati di laman web www.anihberhad.com atau Twitter di LPT-Line@LPTTrafik atau hubungi hotline LPT 09-5479111.

-- BERNAMA

--- Back to News Listing ---