Media Press Release

Ambil tindakan tegas ceroboh lebuh raya

Date: Monday, 16 October 2006
Category: Publication - Utusan Malaysia

TEMERLOH 15 Okt. – Kerajaan negeri mahu pihak yang bertanggungjwab mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menceroboh kawasan lebuh raya sehingga menimbulkan ancaman ke atas keselamatan pengguna khususnya menjelang musim perayaan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, pihak syarikat pengurusan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), MTD Prime, polis dan agensi terbabit boleh memantau keadaan itu.


SHARKAR Shamsuddin (dua kanan) menyerahkan pakaian baru kepada beberapa Orang Anak-Anak Yatim Darul Izzah dan Ruman Bakti KFC Semantan semasa majlis sumbangan hari raya dan berbuka puasa anjuran MTD Prime di R&R Termerloh, kelmarin.
Sambil melahirkan rasa kesalnya dengan segelintir penduduk yang menceroboh kawasan LPT bagi membuat ‘laluan tikus’ dengan memotong dan mencuri dawai besi pagar tanpa mengambilkira keselamatan pengguna lebuh raya.

Katanya, ‘laluan tikus’ itu juga boleh menyebabkan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau bebas keluar masuk tanpa kawalan dan ini membahayakan nyawa pengguna LPT terutamanya pada waktu malam.

“Menurut maklumat pengurusan syarikat MTD Prime, kejadian memotong dan mencuri pagar berlaku di kawasan baru pada setiap hari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kelakuan buruk dan vandalisme tidak patut berlaku dalam masyarakat negara ini yang bertamadun kerana pihak lain yang akan menanggung risiko dan pelbagai masalah,” katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian kepada pemberita pada majlis sumbangan hari raya dan berbuka puasa anjuran MTD Prime kepada 60 anak yatim dan warga emas Daerah Temerloh di kawasan rehat dan rawat (R & R) Temerloh dekat sini, semalam.

Mereka yang menerima bantuan tersebut ialah daripada penghuni Rumah Sejahtera Islam Kampung Loyang, Rumah Sejahtera Islam Desa Baru Purun, Rumah Sejahtera Islam Kampung Bangau Tanjung, Pertubuhan Anak Yatim & Kebajikan Darul Izzah dan Rumah Bakti KFC Semantan.

Turut hadir ialah Pengurus Urusan Syarikat Konsesi Kumpulan MTD Prime, Rijaluddin Salleh.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan pemilik ternakan supaya mengawal ternakan masing-masing agar tidak berkeliaran masuk ke kawasan lebuh raya bagi mengelakkan risiko kemalangan.

Beliau turut meminta kerjasama ketua kampung, penghulu dan imam masjid memaklumkan kepada penduduk kesalahan menceroboh lebuh raya.

“Saya berharap pihak konsesi MTD Prime sudah mempunyai perancangan sendiri untuk meningkatkan tahap keselamatan dan pengawasan di laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT),” katanya.

--- Back to News Listing ---