Media Press Release

6,706 nyawa melayang tahun lalu

Date: Sunday, 24 January 2016
Category: Publication - Harian Metro


LIOW (tengah) bersama murid SK Sungai Dua, semalam.

Bentong: Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan kurikulum baru pendidikan keselamatan jalan raya di semua sekolah di seluruh negara dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan terutama membabitkan kematian yang meningkat sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan statistik terkini, 489,606 kes kemalangan dilaporkan berlaku sepanjang tahun lalu berbanding 476,196 pada tahun sebelumnya yang merangkumi 6,706 kes kematian berbanding 6,674 kes dalam tempoh sama.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu dianggap sebagai agenda nasional yang serius dan pihaknya menggunakan pelbagai cara termasuk menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi kajian semula modul kurikulum sedia ada.

“Walaupun pelbagai kempen kesedaran dan tindakan penguatkuasaan giat dilaksanakan pihak berkaitan, hasil pemerhatian kementerian mendapati statistik kemalangan jalan raya masih menunjukkan peningkatan termasuk membabitkan kematian.

“Justeru, kita beranggapan kurikulum sedia ada sememangnya perlu ditambah baik dan diperincikan untuk mendidik pengguna bermula daripada golongan belia terutama di peringkat sekolah,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Sambutan Tahun Baru Cina Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Hentian Rehat Genting Sempah, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah ANIH Berhad Nik Fauzi Nik Hussien dan Pengarah Wilayah Timur Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Noriha Derin.

Pada majlis anjuran syarikat konsesi LPT itu, selain sumbangan angpau, 60 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, dekat sini, diberikan tip berguna menerusi pameran khas berkaitan kesedaran keselamatan antaranya bahaya lalu lintas dan mengawal tingkah laku ketika berada di lebuh raya.

Menurut Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong, kurikulum baru itu akan dilancarkan selepas sambutan Tahun Baru Cina bulan depan yang merangkumi pendidikan antaranya mengenai faktor utama berlaku kemalangan, langkah pencegahan dan perkara berkaitan.

Dalam pada itu, kata beliau, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di setiap negeri diminta lebih aktif menjalankan kempen atau aktiviti bersama masyarakat setempat dan kementerian turut bercadang untuk menubuhkannya di peringkat daerah kelak.

“Langkah seumpama itu perlu bagi memberi ruang dan peluang kepada ketua atau pemimpin setempat mendekati masyarakat untuk memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya sama ada di bandar atau kampung,” katanya yang memaklumkan kementerian menyasarkan penurunan 10 peratus jumlah kemalangan tahun ini.

Ditanya mengenai isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), Liow berkata, pihaknya terlebih dulu akan meneliti semua maklum balas dan reaksi daripada orang awam.

“Sama ada ia berkaitan AES, KEJARA dan penggantungan lesen, kita bergantung juga kepada maklum balas umum dalam tempoh satu atau dua bulan ini. Kita akan membuat keputusan penuh pada Mac atau April depan,” katanya.



--- Back to News Listing ---