Media Press Release

ANIH BERHAD EDAR BUNGKUSAN LIMAU MANDARIN KEPADA PENGGUNA LPT

Date: Friday, 05 February 2016
Category: Announcement



SIARAN AKHBAR
UNTUK SIARAN SEGERA


ANIH BERHAD EDAR BUNGKUSAN LIMAU MANDARIN KEPADA
PENGGUNA LPT



4 Februari 2016- Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut Isnin ini, ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), hari ini mengagihkan 5,000 biji buah limau kepada pemandu di Plaza Tol Gombak mulai jam 3 petang, di sini.

Pengarah ANIH Berhad, Encik Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein bersama kakitangan lain mengagihkan limau berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada pengguna lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu.

Dalam masa yang sama, ANIH Berhad turut mengambil kesempatan menasihatkan pengguna KLK dan LPT 1 supaya peka dan berhati-hati ketika berada di lebuh raya sama ada untuk menjalankan urusan atau pun pulang ke kampung masing-masing.

Turut hadir bagi mengagihkan limau itu adalah Puan Radzimah Mohd Radzi, Naib Presiden Kanan, Ketua Pengurusan Aset Tol serta pihak pengurusan ANIH Berhad.

Encik Nik Fauzi berkata, pemberian buah limau berkenaan yang merupakan program tahunan syarikat turut diadakan untuk bertemu dengan pengguna Lebuhraya KLK dan LPT 1 bagi menyampaikan mesej keselamatan agar mereka sentiasa peka dan mematuhi undang-undang jalan raya selain menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan waspada ketika pemanduan.

Sempena perayaan Tahun Baru Cina pada 8 Februari ini, ANIH Berhad juga akan menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada pengguna Lebuhraya KLK dan LPT 1 yang membuat bayaran secara elektronik (ETC). Pemberian diskaun tol itu akan bermula jam 12.00 pagi sehingga 11.59 malam. Pengguna juga disarankan untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) yang terletak di Plaza Tol Gombak dan Bentong untuk menambah nilai kad Touch n Go masing-masing. Pengguna juga boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di kawasan rawat dan rehat (R&R) di sepanjang KLK dan LPT 1.

Bagi tujuan keselesaan pengguna dan kelancaran trafik, Encik Nik Fauzi berkata, ANIH Berhad turut menyediakan 420 orang kakitangan tol dan 38 pasukan rela bagi melancarkan aliran trafik di 11 Plaza Tol, bermula dari Gombak, Bentong, Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Sri Jaya, Gambang, Kuantan dan Jabor.

”ANIH menjangkakan kira-kira sejumlah 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya KLK dan LPT1 dalam tempoh sepuluh hari sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini berbanding sekitar 150,000 kenderaan sehari pada hari biasa.”, katanya.

Encik Nik Fauzi berkata, susulan jangkaan berlakunya peningkatan jumlah kenderaan itu, ANIH Berhad menasihatkan pengguna agar mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan bagi melancarkan perjalanan mereka. TTA diharap dapat mengurangkan kesesakan melampau khususnya pada waktu puncak selain memastikan perjalanan pengguna lancar, cekap dan selamat untuk sampai ke destinasi yang dituju.

Oleh itu, ANIH Berhad komited memastikan Lebuhraya KLK dan LPT 1 sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan termasuk memenuhi tahap kualiti lebuh raya berdasarkan garis panduan dan piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

***Tamat***


Tentang ANIH Berhad

ANIH Berhad adalah pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sepanjang 240km. Bermula dari Gombak di Lembah Klang hingga Jabor di Terengganu, LPT menyingkatkan masa perjalanan, dari Lembah Klang ke bandar-bandar utama di sebelah Pantai Timur, terutamanya Kuantan. ANIH Berhad juga adalah pemegang konsesi Lebuhraya KL-Seremban. Operasi tol dan penyenggaraan rangkaian-rangkaian lebuh raya ANIH Berhad diurus oleh Kumpulan AlloyMtd.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

  1. Fazlyaton Hussein, Ketua, Komunikasi Korporat
    fazlyaton.hussein@alloymtd.com

  2. Ahmad Farizal Abdul Hajat, Naib Presiden, Komunikasi Korporat
    farizal.hajat@alloymtd.com

  3. Hafizah Sabri, Penolong Naib Presiden, Komunikasi Korporat
    hafizah.sabri@alloymtd.com

  4. Sofia Roseli, Eksekutif, Komunikasi Korporat
    sofia.roseli@alloymtd.com


Siaran Akhbar dikeluarkan bagi pihak ANIH Berhad oleh:
Jabatan Komunikasi
AlloyMtd Group


1, Jalan Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel : 03-6195 1111 Fax : 03-6188 0101 Website : www.alloymtd.com

--- Back to News Listing ---