Media Press Release

Vandalisme di LPT ancam keselamatan

Date: Wednesday, 15 November 2006
Category: Publication - Berita Harian

TEMERLOH: Kegiatan vandalisme di Lebuhaya Pantai Timur (LPT) merunsingkan pihak pengurusan syarikat konsesi, MTD Prime Sdn Bhd (MTD Prime) kerana perbuatan itu membahayakan keselamatan pengguna lebuh raya itu.

Kegiatan potong dawai pagar dilakukan pihak tak bertanggungjawab untuk dapatkan wang segera

ANGKARA SIAPA: Dawai pagar yang dipotong
penceroboh bagi memasuki kawasan lebuh raya.

Kegiatan memotong dawai pagar bagi tujuan melintas di kawasan lebuh raya, mencuri besi penghadang jalan, tiang besi pagar serta pagar besi untuk dijual sebagai besi buruk turut dikesan berlaku di LPT.

Lazimnya, mereka yang melakukan kegiatan itu semata-mata ingin mencari jalan mudah melintasi kawasan lebuh raya atau mendapatkan wang segera dengan menjual besi atau dawai curi.

Mereka yang melakukan kegiatan itu tidak mengambil kira keselamatan pengguna lebuh raya, di samping kerugian yang terpaksa ditanggung pihak pengurusan lebuh raya.

Difahamkan, hampir RM500,000 setahun digunakan pihak pengurusan lebuh raya itu untuk memperbaiki kemudahan yang dirosakkan atau dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, pelbagai usaha dilakukan MTD Prime menangani masalah vandalisme bertujuan menjaga kepentingan pengguna LPT sepanjang 169 kilometer dari Karak sehingga ke Kuantan.

Berdasarkan rekod dicatat MTD Prime, sejumlah 4,800 tiang pagar besi di kawasan lebuh raya berkenaan menjadi sasaran mereka yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini menyebabkan pihak MTD Prime terpaksa menggantikan tiang pagar besi kepada tiang pagar simen dengan perbelanjaan besar bagi mengelak kehilangan.

Selain itu, setakat ini hampir 11 kilometer dawai pagar diganti baru akibat dipotong pihak tidak bertanggungjawab atau dicuri, terutama di kawasan yang berhampiran penempatan penduduk.

Kegiatan memotong dan mencuri pagar boleh menyebabkan binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing atau binatang liar seperti babi hutan, musang atau tenggiling memasuki kawasan lebuh raya.

Keadaan ini boleh menyebabkan berlaku kemalangan, terutama pada waktu malam atau hujan lebat sehingga mendatangkan kesusahan kepada pengguna lebuh raya itu.

Pihak MTD Prime mengakui ada kemalangan maut membabitkan pengguna lebuh raya yang cuba mengelak binatang ternakan yang berkeliaran di lebuh raya.

Kejadian seperti itu amat dikesali kerana perbuatan segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab menyebabkan orang lain mendapat kesusahan, malah kerugian besar.

MTD Prime mendapati sejumlah 50 peratus kegiatan kecurian dan vandalisme dilakukan di kawasan Lebuhraya Temerloh ke Chenor, manakala 25 peratus di lakukan di kawasan Karak ke Lanchang, bakinya di kawasan lain.

Bagi mengatasi masalah itu, MTD Prime menjalankan beberapa usaha, termasuk mengadakan rondaan secara lebih kerap di kawasan yang sering menjadi sasaran penceroboh.

Pengurus Konsesi Kumpulan MTD Prime, Rijaluddin Salleh berkata, tindakan mengadakan rondaan keselamatan dan jenayah dilakukan pihak yang dilantik syarikat.

Katanya, kumpulan ini akan bertindak serta merta memperbaiki kerosakan di kawasan lebuh raya terutama membabitkan dawai pagar, kemudahan awam serta prasarana lain.

"Pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya kegiatan vandalisme yang dilakukan penceroboh mendatangkan kerugian serta membahayakan pengguna lebuh raya.

"Selain itu, syarikat turut mengadakan ceramah serta khidmat nasihat kepada penduduk di beberapa kampung berhampiran lebuh raya mengenai keselamatan kawasan berkenaan.

"Ada antara kalangan masyarakat tidak memahami konsep penubuhan lebuh raya oleh kerajaan dan beranggapan jalan itu menyamai jalan kampung.

"Setakat ini, ada penduduk yang sudah mula memahami pentingnya menjaga prasarana yang disediakan pihak lebuh raya bagi kepentingan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membawa Berita Harian meninjau kawasan LPT antara Tol Karak sehingga ke Tol Temerloh yang dikatakan sering menjadi sasaran kegiatan vandalisme dan pencuri.

Rijaluddin berkata, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan pihak berkuasa tempatan juga turut mengadakan operasi menangkap binatang ternakan yang berkeliaran di kawasan lebuh raya.

Katanya, beliau bersyukur masalah pencerobohan dan binatang ternakan terlepas di kawasan lebuh raya sudah mula diatasi dan pengguna tidak perlu bimbang menggunakan jalan berkenaan.

Beliau berharap penduduk yang tinggal berhampiran LPT dapat bersama-sama menangani masalah pencerobohan dan kegiatan vandalisme bagi menjaga kepentingan awam.

Rijaluddin memberitahu usaha memperbaiki mutu perkhidmatan LPT akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi menjaga kepentingan serta keselesaan pengguna.

--- Back to News Listing ---