Media Press Release

ANIH BERHAD PERKASA MODAL INSAN MAAHAD TAHFIZ MUHAMMADI

Date: Monday, 06 June 2016
Category: Announcement



SIARAN AKHBAR
UNTUK SIARAN SEGERA



ANIH BERHAD PERKASA MODAL INSAN MAAHAD TAHFIZ MUHAMMADI


  • 50 sukarelawan ANIH Berhad gotong royong bangunkan perpustakaan mini dan sudut IT bantu pelajar akses maklumat dan mencari bahan rujukan

  • Laksana kerja baik pulih pendawaian semula elektrik, bersih tandas, kelas, susun atur meja dan kerusi, membuang sampah sarap serta mencuci keseluruhan kawasan sekolah



Kuantan, 1 Jun 2016 – Bersempena Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi, ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), mengambil inisiatif untuk terus menyumbang kepada komuniti setempat di sepanjang jajaran lebuh rayanya melalui penganjuran pelbagai program kemasyarakatan.

Untuk tahun ini, ANIH Berhad menerusi 50 sukarelawan warga kerjanya memilih Maahad Tahfiz Muhammadi, Bukit Rangin di sini untuk melaksanakan program komuniti sebagai salah satu program tanggungjawab korporat jangka panjangnya untuk membantu membangunkan kelompok modal insan cemerlang dalam kalangan pelajar tahfiz, khususnya golongan anak-anak yatim dan kurang berkemampuan.

Bagi tujuan itu, ANIH Berhad mewujudkan perpustakaan mini dan sudut teknologi maklumat (IT) di Maahad Tahfiz tersebut. Langkah ini diharap mampu memberi impak positif dari aspek pembelajaran, sekali gus membantu para pelajar tahfiz agar tidak ketinggalan dalam arus pembelajaran dan pembangunan IT yang sangat pesat.

Selain mewujudkan perpustakaan mini dan sudut IT, sukarelawan ANIH Berhad turut melaksanakan pelbagai kerja baik pulih dengan membantu penghuni Maahad Tahfiz menerusi pendawaian semula elektrik di dalam kawasan sekolah, melakukan kerja pembersihan tandas, kelas, susun atur meja dan kerusi, membuang sampah sarap serta mencuci keseluruhan kawasan sekolah.

Mengulas mengenainya, Pengarah ANIH Berhad, En Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein, berkata program ini adalah antara inisiatif Syarikat untuk membantu kerajaan mempersiapkan modal insan, khususnya rakyat Pahang menjadi warga yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Beliau berkata, menyedari sains dan teknologi pernah menyumbang kepada zaman kegemilangan Islam, Syarikat ingin melihat Maahad Tahfiz terbabit memanfaatkan sepenuhnya perpustakaan mini dan sudut IT itu dan menjadikannya sebagai antara asas pembelajaran dalam mengukuhkan jati diri pelajarnya untuk berjaya secara holistik.

“Adalah besar harapan kami untuk melihat setiap pelajar di Maahad Tahfiz Muhammadi ini bukan sahaja mampu menguasai al-Quran melalui hafazan dan memahami isi kandungannya, malah berupaya menjadi ahli akademik dan professional ke arah melahirkan pemimpin Islam yang cemerlang dengan keseimbangan dalam bidang akademik, Islam dan sains menerusi manfaat daripada program ini,” katanya sambal menambah diharapkan pelajar Maahad Tahfiz ini mampu menjadi model terbaik kepada masyarakat secara umum.

Objektif utama penubuhan perpustakaan mini ini adalah bagi menyediakan bahan bacaan ilmiah daripada pelbagai sektor industri kepada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz selain untuk memupuk tabiat membaca dan sekaligus membina masyarakat yang suka membaca. ANIH Berhad telah mendapatkan sumbangan bahan-bahan bacaan daripada kakitangannya bagi menyokong projek ini.

Sementara itu, Pengetua Maahad Tahfiz Muhammadi, Ustaz Tengku Fathul Aziz berkata, pihaknya berterima kasih kepada ANIH Berhad kerana prihatin dengan keperluan 20 penghuni di bawah jagaannya.

Menurutnya, semua kemudahan itu akan digunakan sebaiknya terutama dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) harian.

"Maahaad Tahfiz Muhammadi beroperasi sejak 15 Januari 2010 tahun lalu dan hanya mempunyai kemudahan asas seperti kelas dan surau. Penghuni yang berumur 12 hingga 15 tahun pula hanya bergantung kepada kitab dan al-Quran dan kemudahan sumbangan komputer serta penubuhan perpustakaan mini itu pasti memberi manfaat kepada mereka," katanya.






***Tamat***



Latarbelakang Maahad Tahfiz Muhammadi

Maahad Tahfiz Muhammadi ini merupakan pusat pengajian pondok yang ditubuhkan di Bukit Rangin, Kuantan, Pahang pada 21 Januari 2010. Maahad ini ditubuhkan khusus untuk mendidik anak-anak yatim dan anak-anak daripada latar belakang yang berpendapatan rendah. Ia mempunyai 20 orang kanak-kanak yang berusia di antara enam hingga dua belas tahun.




Tentang ANIH Berhad

ANIH Berhad adalah pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sepanjang 240km. Bermula dari Gombak di Lembah Klang hingga Jabor di Terengganu, LPT menyingkatkan masa perjalanan, dari Lembah Klang ke bandar-bandar utama di sebelah Pantai Timur, terutamanya Kuantan. ANIH Berhad juga adalah pemegang konsesi Lebuhraya KL-Seremban. Operasi tol dan penyenggaraan rangkaian-rangkaian lebuh raya ANIH Berhad diurus oleh Kumpulan AlloyMtd.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

  1. Fazlyaton Hussein, Ketua, Komunikasi Korporat
    fazlyaton.hussein@alloymtd.com

  2. Ahmad Farizal Abdul Hajat, Naib Presiden, Komunikasi Korporat
    farizal.hajat@alloymtd.com

  3. Hafizah Sabri, Penolong Naib Presiden, Komunikasi Korporat
    hafizah.sabri@alloymtd.com

  4. Sofia Roseli, Eksekutif, Komunikasi Korporat
    sofia.roseli@alloymtd.com


Siaran Akhbar dikeluarkan bagi pihak ANIH Berhad oleh:
Jabatan Komunikasi
AlloyMtd Group


1, Jalan Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel : 03-6195 1111 Fax : 03-6188 0101 Website : www.alloymtd.com

--- Back to News Listing ---