Media Press Release

MTD cadang bayar balik modal 35 sen sesaham

Date: Tuesday, 30 January 2007
Category: Publication - Berita Harian

MTD Infraperdana Bhd mencadangkan pembayaran balik modal sebanyak 35 sen sesaham dalam usaha menambah baik struktur modalnya, di samping memberikan ganjaran kepada pemegang saham.

MTD Infraperdana dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, berkata pembayaran semula modal itu akan dibuat secara tunai kepada pemegang saham yang layak, yang nama mereka berada dalam Rekod Depositor syarikat itu ketika penutup urus niaga pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Cadangan itu, katanya akan membabitkan pengagihan tunai RM386.862 juta jika berdasarkan kepada modal saham diterbit dan berbayar syarikat itu setakat 31 Disember 2006 dan selepas ditolak 50.3 juta saham perbendaharaan yang dipegangnya, atau sejumlah RM394.130 juta jika diandaikan semua 20.764 juta waran tertunggaknya dilaksanakan.

Katanya, apabila cadangan itu diselesaikan, nilai tara saham biasa dalam syarikat akan dikurangkan kepada 25 sen sesaham daripada 60 sen.

Sejajar dengan itu, modal saham dibenarkan syarikat akan diubah daripada RM1.8 bilion mewakili tiga billion saham kepada RM1.8 bilion mewakili 7.2 bilion saham," katanya.

MTD Infraperdana menegaskan, cadangan pembayaran semula modal itu sebahagian daripada inisiatif pengurusan modal syarikat itu bertujuan menambah baik struktur modalnya dan anak syarikatnya serta meningkatkan nilai pemegang saham.

Katanya, ahli lembaga pengarah syarikat itu berpendapat bahawa asas modal MTD Infraperdana ketika ini dibiayai terlalu besar oeh ekuiti, justeru merancang meningkatkan bahagian pinjaman kepada struktur modalnya.

"Sehingga 30 September lalu, jumlah dana pemegang saham syarikat adalah berjumlah RM823.369 juta, manakala jumlah pinjaman pula sebanyak RM524.923 juta.

"Nisbah pembiayaan hutang berbanding ekuiti ini adalah di bawah amalan industri, justeru ahli lembaga pengarah yakin syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk memulangkan sebahagian pelaburan pemegang saham bagi meningkatkan struktur modal kumpulan, di samping sebagai penghargaan kepada pemegang saham bagi sokongan mereka," katanya.

MTD Infraperdana berkata, ia akan membiayai cadangan pembayaran semula modal itu menerusi pinjaman yang akan dibuat pada kadar kompetitif.

Oleh Nor Liza Ahmad

--- Back to News Listing ---