Media Press Release

Laksana tol percuma tahunan semasa musim perayaan

Date: Friday, 18 September 2009
Category: Publication - Utusan Malaysia

Ruangan Pendapat

TINGGAL beberapa hari lagi bulan Syawal akan menjelma. Ketika ini, umat Islam di seluruh dunia dan juga di Malaysia menanti kedatangan Syawal dengan penuh kegembiraan. Pelbagai persiapan saat-saat terakhir dilakukan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Persiapan ini tidak sekadar membeli kuih-muih dan pakaian raya tetapi juga melibatkan perancangan perjalanan balik ke kampung.

Dijangkakan beribu-ribu kenderaan akan berada di jalan raya mulai hari Jumaat ini. Ada yang menggunakan jalan tanpa tol dan ada juga yang menggunakan lebuh raya bertol. Masing-masing ingin sampai ke destinasi yang dituju.

Perjalanan balik ke kampung pastinya memenatkan ditambah lagi dengan kesesakan lalu lintas yang teruk. Kesesakan akan bertambah teruk terutamanya di kaunter-kaunter pembayaran tol bagi pengguna lebuh raya.

Maka, apabila syarikat konsesi lebuh raya, Kumpulan MTD mengumumkan perjalanan bebas tol ke Pantai Timur pada 18 dan 24 September ini, pastinya ramai pengguna lebuh raya tersebut mengukir senyuman. Inilah hadiah bermakna yang julung-julung kali diberikan oleh syarikat konsesi lebuh raya menjelang Aidilfitri.

Sebelum ini, pihak konsesi lebuh raya sering memohon kepada kerajaan untuk menaikkan harga tol, namun pengumuman ini serba sedikit mengurangkan tanggapan negatif para pengguna lebuh raya bahawa syarikat konsesi lebuh raya hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Disyorkan agar syarikat-syarikat konsesi lebuh raya di seluruh Malaysia mengambil tindakan yang serupa sebagai hadiah kepada pengguna lebuh raya. Inilah masa yang amat sesuai untuk mereka membalas jasa para pengguna lebuh raya dan mampu mengeratkan hubungan baik di antara mereka dengan para pengguna.

Di samping itu, hadiah ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial syarikat berkenaan kepada masyarakat. Keuntungan yang diperolehi seharusnya dipulangkan kembali kepada para pengguna yang telah banyak membantu syarikat-syarikat konsesi lebuh raya menjana keuntungan yang besar pada setiap tahun.

Menjalankan tanggungjawab sosial sebegini bakal membolehkan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya berkenaan memperolehi keuntungan kelestarian jangka masa panjang.

Di samping itu, pemansuhan tol di musim perayaan akan melancarkan lagi perjalanan kenderaan di lebuh raya. Seterusnya, bakal mengurangkan kemalangan jika ramai pengguna lebuh raya beralih menggunakan lebuh raya daripada waktu puncak ke waktu bukan puncak.

Dicadangkan agar pihak konsesi lebuh raya melanjutkan masa perjalanan bukan puncak dari pukul 8 malam sehingga 8 pagi berbanding menjadikan waktu bukan puncak selepas pukul 12 tengah malam.

Pelanjutan masa bukan puncak bakal menarik pengguna lebuh raya menggunakan lebuh raya ketika ini. Ada di antara pengguna lebuh raya memerlukan masa yang lebih lama untuk sampai ke destinasi, maka tempoh yang dicadangkan perlulah dipanjangkan agar lebih ramai lagi pengguna lebuh raya mendapat manfaatnya.

Selain itu, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya juga seharusnya memanjangkan tempoh untuk perjalanan bebas tol. Umpamanya, perjalanan bebas tol untuk tiga hari menjelang Aidilfitri. Begitu juga, perjalanan bebas tol seharusnya dilaksanakan selama tiga hari selepas Aidilfitri terutamanya ketika ramai pengguna lebuh raya berpusu-pusu pulang untuk kembali semula bekerja.

Selain Aidilfitri, dicadangkan juga agar perjalanan tanpa tol dilaksanakan semasa musim-musim perayaan yang lain seperti Hari Raya Aidiladha, Hari Natal, Tahun Baru Cina dan juga Deepavali. Ini kerana, selain justifikasi mengurangkan kesesakan lebuh raya dan mengelak kemalangan serta mengurangkan kematian di lebuh raya, perjalanan bebas tol akan mengurangkan beban kewangan pengguna lebuh raya terutamanya ketika krisis ekonomi melanda pada masa kini.

Justeru, inisiatif untuk memansuhkan bayaran tol seharusnya dijadikan "acara tahunan musim perayaan" bagi syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai "hadiah" dan ucapan "terima kasih" kepada pengguna lebuh raya yang selama ini banyak membantu pertumbuhan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya berkenaan.

Rohami Shafie
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

View news clipping

--- Back to News Listing ---