Media Press Release

Tiada bayaran tol di LPT sempena Tahun Baru Cina

Date: Monday, 08 February 2010
Category: Publication - Berita Harian

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my

Kuala Lumpur: Pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) tidak akan dikenakan bayaran tol antara 11.30 malam dan 4.30 pagi pada 11 dan 15 Februari ini sempena Tahun Baru Cina, manakala 16 lagi lebuh raya memberi diskaun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata diskaun membabitkan tempoh perjalanan antara 11.30 malam 11 Februari ini hingga 4.30 pagi 12 Februari dan antara jam 11.30 malam 15 Februari hingga 4.30 pagi 16 Februari.

"Selain Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan LPT (Fasa 1) yang mengecualikan bayaran tol untuk tempoh itu, lebuh raya lain memberi diskaun 5 hingga 20 peratus.

"Walaupun kita ada 26 lebuh raya di seluruh negara, sembilan lagi lebuh raya belum berada pada kedudukan kewangan yang mengizinkan untuk memberi diskaun kadar tol.

"Walaupun tidak semua yang memberi (diskaun), ini adalah 'ang pau' daripada syarikat konsesi untuk pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Lebuh Raya peringkat Kementerian Kerja Raya di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Thomas George; Ketua Pengarah Kerja Raya, Prof Datuk Dr Judin Abd Karim; Pengerisu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Syed Jamal Syed Jaafar dan Ketua Pengarah LLM, Datuk Ismail Md Salleh.

"Jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya pada 26 dan 27 Januari tahun lalu sempena Tahun Baru Cina mencecah 5.42 juta, peningkatan 7.89 peratus berbanding 5.02 juta pada 2008 untuk cuti perayaan yang sama.

"Kita jangkakan, sepanjang Ops Sikap 21 yang bermula semalam hingga 22 Februari 2010, kadar trafik meningkat dua hingga 2.5 kali ganda berbanding hari biasa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shaziman berkata kementeriannya membelanjakan RM200,00 hingga RM1 juta bagi membaik pulih setiap daripada 10 kawasan hitam yang menyumbang 55 kemalangan jalan raya pada 2008.

"Selepas kerja baik pulih itu, tiada satu pun kemalangan dicatatkan di 10 kawasan itu. Kita membaik pulih 30 lagi kawasan hitam tahun ini," katanya.

Mengenai kajian kenaikan kadar tol di seluruh negara berikutan berakhirnya tempoh perjanjian konsesi beberapa lebuhraya tidak lama lagi, Shaziman berkata perkara itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, dua minggu lalu dan jemaah menteri itu sudah mengarahkan kajian lanjut dilakukan.

Katanya Kabinet mahu kadar dan kaedah kenaikan tidak membebankan pengguna.

View news clipping

--- Back to News Listing ---