Media Press Release

Penstrukturan tol kurangkan beban rakyat - NGO

Date: Saturday, 29 January 2011
Category: Publication - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Persatuan pengguna menyambut baik langkah kerajaan menstrukturkan semula kutipan tol di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 yang disifatkan sebagai langkah terbaik bagi mengurangkan beban rakyat.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, langkah tersebut mampu melegakan rakyat dalam keadaan negara berhadapan dengan situasi ekonomi yang tidak stabil.

''Kami berterima kasih atas keprihatinan kerajaan itu yang mampu mengurangkan tekanan pengguna jalan raya.

''Bagaimanapun kita berharap kerajaan akan terus membuat kajian menyeluruh kadar konsesi tol ini supaya ia tidak naik mendadak selepas lima tahun ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan untuk tidak menaikkan kadar tol bagi tempoh lima tahun akan datang bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

Beliau juga mengumumkan penamatan konsesi tol untuk Lebuhraya Hubungan Timur-Barat yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught yang dijangka berkuatkuasa Mei ini.

Inisiatif penutupan awal tol itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 39 juta pengguna lebuh raya tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, pada masa yang sama kerajaan perlu memantau lebuh raya sedia ada agar ia sentiasa diselenggara dengan baik bagi keselesaan pengguna.

Katanya, ini termasuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terlampau di beberapa kawasan persimpangan utama dan bandar.

''Lebuh raya sedia ada juga harus dilengkapi sistem keselamatan jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,'' katanya.

View news clipping

--- Back to News Listing ---