Media Press Release

39 juta tak perlu bayar tol

Date: Saturday, 29 January 2011
Category: Publication - Harian Metro

PUTRAJAYA: Kira-kira 39 juta pengguna Lebuhraya Hubungan Timur yang menghubungkan Persilangan Salak dan Taman Connaught, Kuala Lumpur akan mendapat manfaat berikutan penghapusan kadar tol di lebuh raya itu, yang dijangka berkuat kuasa Mei ini.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penutupan tol berkenaan lebih awal daripada tempoh sepatutnya iaitu 2018 berikutan keputusan kerajaan supaya tempoh konsesi tidak dilanjutkan dan lebih penting tiada lagi pampasan akan diberikan kerajaan untuk semakan tol tertunggak.


“Ini bermakna pengguna lebuh raya itu tidak perlu lagi membayar tol. Bagaimanapun, tarikh implementasi akan berkuat kuasa selepas urusan dokumentasi selesai, dijangka Mei ini.

“Saya difahamkan inisiatif penutupan awal tol ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 39 juta pengguna lebuh raya itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini semalam.


Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.


Najib berkata, penutupan itu dipersetujui selepas beliau meminta pemegang konsesi tol mengkaji semula struktur masing-masing sebagai langkah membantu kerajaan memakmurkan negara dan mengurangkan bebanan rakyat.

Katanya, bagi menyahut seruan itu dua ahli korporat yang juga pemegang saham terbesar sebuah syarikat konsesi tol terbabit mengemukakan satu cadangan penstrukturan tol melalui perolehan aset konsesi yang memberi impak yang besar kepada rakyat.


Selain penutupan tol lebuh raya berkenaan, cadangan itu juga memberi jaminan tiada kenaikan tol bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh raya Pantai Timur Fasa Satu bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Inisiatif ini adalah manifestasi kesungguhan kerajaan untuk mencari penyelesaian berhemah dalam isu tol. Saya juga ingin menyeru agar inisiatif sebegini dapat dicontohi syarikat pemegang konsesi lain demi kepentingan rakyat,” katanya.


Ditanya mengapa pengumuman itu dibuat secara tiba-tiba, Najib berkata “Bukan tiba-tiba, ia adalah proses biasa. Saya dah bincang supaya pihak konsesi mencuba sama ada mengekalkan tol untuk tempoh masa tertentu atau mengurangkannya atau lebih baik menghapuskannya (terus).


“Jadi, cadangan mana yang boleh kita terima, kita terima dan kita jalan (laksanakan) terus. Jika masih ada dalam pertimbangan, biar ia dibincangkan dulu, jadi apa saja yang sedia kita laksanakan dulu... ini sebahagian daripada usaha kita.” Mengenai kemungkinan cadangan itu akan merugikan kerajaan, beliau berkata ia hanya memberi kesan nominal dan ia masih boleh diuruskan kerajaan.

View news clipping

--- Back to News Listing ---