Media Press Release

MTD Infra beri 'durian runtuh'

Date: Tuesday, 31 May 2005
Category: Publication - Berita Harian

PEMEGANG saham MTD Infraperdana Bhd (MTD Infra) akan mendapat 'durian runtuh' apabila syarikat itu mengumumkan cadangan membuat pembayaran balik modal berjumlah RM229.6 juta.

Di bawah cadangan itu, MTD Infra akan membuat pembayaran balik modal 20 sen bagi setiap unit saham syarikat yang dipegang pemegang sahamnya.

Syarikat itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, berkata ia akan membabitkan pengurangan modal saham, yang mana apabila cadangan pembayaran balik modal itu disempurnakan, nilai tara saham biasa syarikat dikurangkan daripada 80 sen sesaham kepada 60 sesaham.

"Berdasarkan kepada modal saham terbitan dan berbayar syarikat pada 31 Mac 2004, iaitu RM918.3 juta merangkumi 1.147 bilion saham, sejumlah RM229.6 juta tunai akan diagihkan kepada pemegang saham yang layak."

"Bagaimanapun, dengan menganggarkan semua 28.5 juta waran pada 31 Mac 2004 dilanggan, modal saham berbayar dan terbitan syarikat yang diperbesarkan akan meningkat kepada RM941.13 juta merangkumi 1.176 bilion saham."

"Justeru, berdasarkan modal saham berbayar dan terbitan syarikat yang diperbesarkan itu, cadangan pembayaran balik modal itu akan membabitkan agihan tunai RM235.3 juta," kata syarikat itu.

MTD Infra berkata, cadangan pembayaran balik modal itu yang akan dibiayai menerusi pinjaman dijangka disempurnakan dalam tempoh empat bulan lagi.

Syarikat itu berkata, cadangan pembayaran balik modal itu sebahagian daripada inisiatif pengurusan modal syarikat bagi memperbaiki struktur modal dan merealisasikan nilai kepada pemegang sahamnya.

"Lembaga Pengarah berpendapat, asas modal syarikat terlalu dibiayai modal ekuiti dan merancang meningkatkan hutang dalam struktur modal kumpulan."

"Sehingga pada 31 Mac 2004, syarikat mempunyai dana pemegang saham RM1.003 bilion dan hutang hanya RM200 juta. Komposisi hutang dan dana ekuiti ini jauh di bawah standard industri," katanya.

Serentak dengan pengumuman MTD Infra itu, MTD Capital Bhd yang menguasai 73.33 peratus kepentingan dalam MTD Infra turut mengumumkan rancangan membuat pembayaran balik modal membabitkan agihan tunai RM82.983 juta atau 30 sen sesaham kepada pemegang sahamnya.

Bagaimanapun, cadangan pembayaran balik modal MTD Capital itu yang dijangka disempurnakan dalam tempoh enam bulan, tertakluk kepada kejayaan pelaksanaan cadangan oleh MTD Infra.

MTD Capital berkata, cadangan pembayaran balik modal itu akan dilaksanakan menerusi pengurangan baki premium sahamnya.

Katanya, ia akan dibiayai menerusi perolehan yang akan diterima daripada cadangan pembayaran balik modal MTD Infra.

"Berdasarkan pegangan dalam MTD Infra, MTD Capital menjangka meraih RM162.73 juta daripada rancangan pembayaran balik modal MTD Infra itu," katanya.

MTD Capital berkata, syarikat mengambil keputusan memberikan ganjaran kepada pemegang saham dengan memulangkan kepada mereka sebahagian daripada dana yang akan diperoleh daripada MTD Infra.

Ini sejajar usaha syarikat untuk mengekalkan struktur modal syarikat pada paras cekap dan merealisasikan nilai pemegang saham, katanya.

--- Back to News Listing ---