Media Press Release

40 wartawan sertai explorace di Lebuh Raya Pantai Timur

Date: Saturday, 30 April 2011
Category: Publication - Utusan Malaysia

KUANTAN 29 April – Seramai 40 pengamal media daripada pelbagai agensi di sini menyertai program ‘Explorace MTD-KMP’ anjuran syarikat pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Kumpulan MTD Prime Sdn. Bhd. (MTD Prime) baru-baru ini.

Program julung kali diadakan itu menyaksikan 13 kumpulan yang turut disertai kakitangan MTD Prime memulakan cabaran mereka di Plaza Tol Kuantan hingga ke Plaza Tol Temerloh dan berakhir di sini.

Sepanjang program itu, pelbagai cabaran terpaksa dilalui setiap peserta termasuk menjalankan tugasan sebagai jurutol, menyusun gambar rajah dan beberapa aktiviti di sekitar kawasan rawat dan rehat (R&R).

Naib Presiden Eksekutif MTD Prime, Ir. Wan Razali Wan Muda berkata, program itu diadakan bertujuan menghargai peranan media dalam membantu menyampaikan maklumat tepat dan terkini berhubung pengendalian operasi kepada pengguna di laluan LPT itu.

Menurutnya, melalui program tersebut, peserta berpeluang mengetahui aktiviti harian dan operasi yang dijalankan kakitangan MTD dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh pengguna lebuh raya berkenaan.

”Dengan adanya program sedemikian, peserta dapat merasai tugasan dan cabaran yang ditempuhi oleh setiap kakitangan MTD.

”Selain menghargai kerjasama media, ia juga bertujuan mengeratkan lagi silaturrahim yang sememangnya telah utuh antara pihak media dan MTD,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama Kelab Media Pahang (KMP) di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi Tol dan Penyelenggaraan Kumpulan MTD Prime, Nik Fauzi Nik Hussain, Penolong Pengarah Kanan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) Wilayah Timur, Fahizan Ibrahim dan Presiden KMP, Nik Naizi Husin.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian hadiah kepada johan pertandingan pencarian harta karun yang diungguli oleh Kumpulan Highway Star terdiri daripada Noor Zuli Ramli dari Utusan Media Sales Sdn. Bhd (UMES), Mohd. Faizol Abdul Aziz (Bernama), Zaiti Satibi (Harian Metro) dan Bazaie Ahmad (TV3).

View news clipping

--- Back to News Listing ---