Media Press Release

Kakitangan tol akan diserap

Date: Wednesday, 18 May 2011
Category: Publication - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 17 Mei – Kakitangan di plaza tol Lebuh raya Hubungan Timur-Barat yang kutipan tol di situ dimansuhkan mulai malam semalamakan diserapkan ke syarikat-syarikat di bawah Kumpulan MTD.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD, Datuk Azmil Khalid berkata, nasib kakitangan terbabit tidak akan diabaikan berikutan pemansuhan kutipan tol di lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, terdapat 57 kakitangan berstatus kontrak yang akan terlibat dan mereka akan diberi peluang pekerjaan jika masih berhasrat dan berminat untuk menyambung kontrak.

“Buat masa ini, pihak kami masih belum menentukan lagi jawatan dan tempat untuk diserapkan mereka ini, namun mereka tidak perlu risau kerana peluang akan diberikan.

“Kumpulan MTD adalah sebuah syarikat yang besar dan sudah tentu ada jawatan yang tersedia untuk mereka yang berhasrat untuk menyambung tugas dengan syarikat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemansuhan Kutipan Tol di Plaza Tol Lebuh raya Hubungan Timur-Barat di sini malam semalam.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor itu menyaksikan kutipan tol sebanyak 50 sen di kedua-dua arah lebuh raya itu ditamatkan tujuh tahun lebih awal daripada perjanjian konsesi yang sepatutnya tamat pada 31 Mei 2018.

Dalam pada itu, Azmil berkata, tindakan selanjutnya daripada pihak beliau adalah merobohkan serta membersihkan plaza tol tersebut dalam masa dua bulan.

“Tempoh tersebut adalah seperti yang terkandung dalam perjanjian konsesi dengan pihak kerajaan,” jelasnya.

View news clipping

--- Back to News Listing ---