Media Press Release

Pengguna sambut baik pemansuhan tol

Date: Wednesday, 18 May 2011
Category: Publication - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 17 Mei - Pengguna Lebuh raya Hubungan Timur-Barat gembira dengan keputusan kerajaan memansuhkan kutipan di plaza tol itu bermula malam semalam.

Bayaran tol sebanyak 50 sen tersebut yang ditamatkan tujuh tahun lebih awal itu dianggap sebagai langkah bijak kerajaan untuk meringan beban pengguna jalan raya.

Seorang pengguna, Nor Hamizah Karim, 25, berkata, pemansuhan itu adalah satu berita gembira terutamanya kepada penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.

Katanya, lebuh raya sememangnya menjadi pilihan utama pemandu dari Cheras dan Kajang untuk ke Petaling Jaya yang ia memendekkan jarak perjalanan mereka.

"Apabila pemansuhan ini dibuat lebih awal maka lebih banyak pengguna yang akan mendapat faedah daripadanya.

"Bajet setiap bulan untuk bayaran tol juga dapat dikurangkan dan ini meringan beban warga kota," katanya ketika ditemui di sini malam semalam.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Connaught, Ngai Kim Leong, 40, berkata, dia amat gembira dengan pemansuhan tersebut kerana ia dapat meringan bebannya yang menggunakan lebuh raya itu setiap hari.

"Sebagai seorang wakil syarikat insurans, saya sentiasa bergerak ke sana sini dan ini membuatkan kos tol saya setiap hari agak tinggi.

"Namun begitu, pemansuhan tol ini adalah berita yang baik kepada kami terutamanya penduduk di sekitar Taman Connaught kerana akan memudahkan mereka ke pusat bandar dan Petaling Jaya," jelasnya.

Edward Liew, 38, berkata, pemansuhan tol itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap beban yang dipikul oleh penduduk yang kerap menggunakan jalan raya di kawasan tersebut.

"Sebelum ini, tindakan memansuhkan tol 50 sen di Jalan Pahang telah memudahkan ribuan rakyat. Kini pemansuhan tol ini telah memudahkan kehidupan rakyat di sini," ujarnya.

R. Amarannadan, 55, pula meminta kerajaan mengkaji semula kadar tol lain di ibu negara supaya tidak terlalu membebankan rakyat.

"Pemansuhan beberapa tol sejak tahun lalu adalah satu langkah yang dialu-alukan dan berharap kerajaan akan terus prihatin dengan beban yang ditanggung oleh warga kota," katanya.

View news clipping

--- Back to News Listing ---