Media Press Release

LPT2: Laluan Jabor-Cheneh dibuka

Date: Tuesday, 22 July 2014
Category: Publication - Sinar Harian



KEMAMAN — Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) bernilai RM3.7 bilion yang kini siap 96 peratus dijangka diserahkan kepada syarikat konsesi lebuh raya Mac tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Ir Rosli Othman bagaimanapun berkata, kadar tol LPT2 secara spesifik belum diputuskan dan masih dalam perbincangan.

Menurutnya, Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) sedang meneliti cadangan kadar tol daripada syarikat pengendali tol termasuk pihak Plus Malaysia Berhad.

"Plaza tol dijangka beroperasi sekitar Mac selepas LPT2 ini diserahkan kepada syarikat konsesi lebuh raya dan apa yang boleh dimaklumkan setakat ini, pengguna boleh meLalui LPT ini secara percuma (hingga plaza tol dibuka).

"Dan segi kemajuan projek hingga hari ini, ia sudah siap sebanyak 96 peratus berbanding 97 peratus yang dijadualkan. Namun saya berkeyakinan penuh LPT2 ini dapat dibuka sepenuhnya akhir tahun ini," katanya selepas menyempurnakan pembukaan sebahagian jajaran LPT2 dari Persimpangan Jabor ke Persimpangan Cheneh, dekat Plaza Tol Jabor, di sini, semalam.

Rosli berkata, pembukaan itu diharap dapat memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dari luar Terengganu yang akan pulang berhari raya, di samping mengelakkan pengguna terperangkap dalam kesesakan trafik sepanjang musim perayaan

"Jajaran baru ini membolehkan perantau yang melalui LPT1 terus masuk ke persimpangan Jabor seterusnya keluar mengikut Cheneh. Pembukaan ini merealisasikan slogan 'Janji Ditepati' pihak kerajaan dan sebagai penambahbaikan kepada kemudahan lebuh raya yang ada sekarang" katanya.

Projek LPT2 sepanjang 184 kilometer merupakan salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan bermula 22 Ogos 2011 hingga 25 Januari lalu, kerajaan telah membuka sebahagian jajaran LPT2 kepada laluan awam sepanjang 104 kilometer dari Persimpangan Kuala Terengganu ke Persimpangan Paka.

Justeru ketika ini, kerajaaan komited menyegerakan penyiapan beberapa jajaran yang masih dalam pembinaan iaitu melibatkan jajaran dari Persimpangan Cheneh ke Persimpangan Chukai dan Persimpangan Kerteh ke Persimpangan Paka.

Dua lagi jajaran dijangka dapat dibuka kepada laluan awam secara berperingkat sebelum penghujung September depan.

--- Back to News Listing ---