Media Press Release

LPT belanja RM4 juta baiki pagar bocor

Date: Wednesday, 08 October 2014
Category: Publication - Harian Metro

Maran: Pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad membelanjakan hampir RM4 juta sejak empat tahun lalu bagi membaiki pagar lebuh raya berkenaan yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan peruntukan itu memandangkan tindakan berkenaan boleh mengundang bahaya kepada pengguna lebuhraya itu.

Beliau berkata, ini memandanglcan haiwan ternakan dan hidupan liar boleh memasuki kawasan LPT menerusi pagar yang dirosakkan sehingga boleh mengakibatkan kemalangan.

"Setiap tahun, kita membelanjakan hampir RM1 juta bagi membaiki pagar berkenaan. Jika tidak, bukan saja manusia menceroboh masuk, malah lembu atau monyet boleh memasuki kawasan lebuh raya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis gotong-royong melapah dan mengagihkan daging korban anjuran ANIH Berhad di Masjid Asy -Syakirin, di sini, semalam.

Nik Fauzi berkata, pihaknya sudah mempertingkatkan usaha penguatkuasaan termasuk rondaan bagi membanteras aktiviti vandalisme di sepanjang LPT sejauh 240 kilometer (km).

Katanya, pada masa sama pihaknya menganjurkan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk di kawasan dikenal pasti menjadi tumpuan penceroboh seperti di Lanchang dan Temerloh.

"Kami menerangkan kepada mereka bahawa ANIH Berhad sudah menyediakan vehicular box cover (VBC) setinggi 4.5 meter (m) tinggi dan selebar 4.5 m iaitu laluan terowong di bawah LPT bagi memudahkan mereka bergerak ke satu-satu tempat.

"Ini memandangkan di sesetengah kawasan, pembinaan LPT sudah menyebabkan perkampungan atau kawasan mereka terbahagi kepada dua dan mereka memotong pagar sehagai cara mudah untuk memasuki satu-satu kawasan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memasang 14 variable messaging system (VMS) atau sistem maklumat pelbagai bagi memaklumkan keadaan trafik kepada pengguna LPT dan ia dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini.

--- Back to News Listing ---